Tuesday 6 March 2012

KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN DI SEKTOR PERHOTELAN







Peruntukan-peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah berasaskan kepada pendekatan peraturan kendiri iaitu tanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan terletak pada mereka yang mewujudkan risiko dan bekerja dengan risiko tersebut.

Konsep pengaturan kendiri ini menggalakkan perundingan, kerjasama serta penglibatan pekerja-pekerja dan majikan dalam usaha-usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 telah berkuatkuasa mulai 25 Februari 1994. Matlamat utama akta ini adalah untuk memupuk komitmen majikan dan pekerja terhadap amalan keselamatan dan kesihatan semasa bekerja dalam semua jenis pekerjaan termasuk bidang perhotelan.

Penguatkuasaan Akta ini adalah satu langkah kerajaan untuk membendung kejadian kemalangan dan penyakit perusahaan dalam semua aktiviti pekerjaan termasuk dalam industri perhotelan.

Kewajipan Anda Sebagai Majikan
Pemilik, pemunya, atau pengendali hotel hendaklah memastikan segala aktiviti kerja yang dijalankan tidak mendatangkan bahaya atau boleh memudaratkan pekerja dan orang awam. Majikan hendaklah mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk:

  • Mengadakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan
  • Menyelenggara tempat kerja, jentera dan peralatan dalam keadaan selamat
  • Mengadakan maklumat arahan, latihan dan penyeliaan untuk memastikan pekerja selamat bekerja
  • Memastikan semua pekerja mengetahui kemungkinan bahaya yang wujud semasa bekerja
  • Berbincang dengan pekerja tentang keselamatan dan kesihatan semasa bekerja
  • Memastikan bahan-bahan yang digunakan adalah selamat
  • Mengenal pasti bahaya, menilai dan seterusnya mengawal bahaya
  • Melaporkan kejadian berbahaya atau kemalangan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang berhampiran secepat mungkin

Kewajipan Anda Sebagai Pekerja
Sebagai seorang pekerja, anda mestilah:

  • Mematuhi dan mengamalkan procedur kerja selamat dan sihat yang telah ditetapkan oleh pihak majikan.
  • Menggunakan dan menjaga semua alat perlindungan diri yang dibekalkan oleh pihak majikan sepanjang masa.
  • Mendapatkan maklumat-maklumat serta risalah-risalah berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sektor perhotelan yang telah disediakan oleh majikan.
  • Melaporkan kepada majikan dengan segera sekiranya mengalami sebarang kejadian berbahaya atau kemalangan.

Penalti
Bagi mana-mana majikan yang gagal menjalankan tanggungjawab dan sabit kesalahannya boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000.00 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi mana-mana pekerja yang gagal menjalankan tanggungjawab dan sabit kesalahannya boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000.00 atau 3 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Tips Untuk Anda
  • Dapatkan maklumat dan latihan mengenai pekerjaan yang anda lakukan.
  • Gunakan PPE yang sesuai dan luluskan semasa membuat kerja yang terdedah kepada bahaya.
  • Jangan gunakan peralatan yang tidak selamat.
  • Pastikan anda bekerja di bawah persekitaran yang selamat seperti pencahayaan yang cukup adanya peredaran udara suhu yang sesuai.
  • Gunakan peralatan yang sesuai dan direka bentuk untuk pekerjaan tersebut.
  • Kurangkan pengangkutan barang secara manual dan cuba menggunakan peralatan seperti troli.
  • Gunakan teknik mengangkat yang betul semasa mengangkat secara manual.
  • Laporkan segala kemalangan di tempat kerja kepada majikan anda.
  • Lakukan tugas melalui prosedur yang ditetapkan.


No comments:

Post a Comment